:: Ketua Pengarang Bernama berdepan saat getir di Tokyo ::

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong berdepan saat-saat getir apabila gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun hari ini, menggegarkan bangunan-bangunan di Tokyo. 


"Saya berada dalam sebuah kedai di daerah Aoyama apabila bangunan bergegar. Saya sedang mengisi masa sebelum temu bual saya dengan Duta Besar Malaysia pada jam 4 petang.



"Saya berlari keluar bangunan. Pada masa itu, saya berada di tingkat satu. Satu lagi selepas gegaran melanda sebelum 3.30 petang," katanya dalam mesej melalui SMS beliau kepada Bernama hari ini.


Yong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) berkata, gempa bumi itu melanda pusat bandar Tokyo pada kira-kira jam 2.50 petang. 




"Ramai orang bergegas keluar bangunan. Kren-kren pembinaan kelihatan bergoyang-goyang di udara dan beberapa kanak-kanak kelihatan menangis di jalanan," katanya. 




Beliau berkata, perkhidmatan keretapi terhenti selama beberapa jam di Tokyo dengan barisan panjang pengguna di hentian teksi berikutan bekalan elektrik terputus di sesetengah wilayah seperti Chiba dan Ibraki. 




Dalam pada itu Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa gempa bumi kuat bermagnitud 8.8 pada skala Richter yang berlaku di pantai Honshu, Jepun pada jam 1.46 petang tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia. 




Laporan media asing berkata, gegaran gempa bumi yang kuat melanda Jepun dan menggoncang bangunan-bangunan di Tokyo selama beberapa minit dan memaksa orang ramai meninggalkan kediaman mereka. 




Laporan awal melaporkan satu gegaran dengan magnitud 7.9 tetapi ditingkatkan kepada magnitud 8.8, yang melanda negara itu kira-kira 400km dari Tokyo. 




Amaran tsunami dikeluarkan. - BERNAMA 

0 comments:

Post a Comment